Kerjaya Farid Kamil

1999–2007: Bidang peragaan ke layar perak

Farid mula menceburi bidang peragaan di majalah-majalah fesyen serta pentas catwalk sejak 1999. Dengan ketinggian 184cm dan berat 75kg; Farid menceburi bidang peragaan untuk menampung pengajiannnya. Antara iklan komersial terawal yang pernah dijayakan beliau ialah Dunhill, Pringles dan TM Net.

Beliau berkelulusan dalam bidang Seni Persembahan daripada Universiti Teknologi MARA. Bakat seni beliau dicungkil oleh pengarah prolifik A Razak Mohaideen menerusi watak kecil dalam filem Mistik di samping Cico Harahap, Lisdawati dan Uji Rashid; lantaran sebelum filem tersebut Farid pernah menjadi pelakon tambahan dalam siri TV, Fakulti arahan Razak pada tahun 2000. Farid diberi peluang memegang watak adik kepada aktres Erra Fazira dalam filem Cinta Kolestrol. Farid bertuah kerana mendapat didikan seni lakon daripada pelakon ternama Ahmad Yatim sekaligus memberi sedikit impak artistik dalam hasil seni lakon beliau biarpun sering muncul dalam filem-filem komersial arahan Razak.

Pada 2004, populariti beliau melonjak naik apabila kerap muncul dalam filem lakonan Erra, serta bergandingan bersama penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza untuk kempen iklan komersil Hotlink. Iklan komersil itu berjaya meletakkan Farid sebagai salah seorang aktor dan peragawan muda yang digemari ramai.[6]

Farid juga lebih cenderung berlakon di bawah arahan A. Razak sehinggalah beliau mencuba keluar daripada kepompong Razak melalui filem Remp-It arahan Ahmad Idham. Beliau juga diberi peluang oleh penerbit terkenal, David Teo untuk menjadi penulis lakonlayar untuk filem tersebut.

Farid hanya berlakon di bawah studio Metrowealth Movies Production sehingga 2006, sebelum kini seringkali muncul dalam filem terbitan studio Tayangan Unggul. Pun begitu, Metrowealth juga memberi peluang kepada Farid untuk bergelar pengarah, serta muncul dalam filem-filem terbitan mereka. Farid hanya dua kali muncul dalam filem dan siri TV terbitan Grand Brilliance menerusi filem kerjasama Skop Productions - Evolusi KL Drift, serta sebelum itu menerusi drama kerjasama Malaysia - Indonesia - Begitulah Cinta pada 2005.

2008–2010: Kejayaan awal dan kemenangan anugerah

Pada 2008, Farid menerima pencalonan untuk kategori Aktor Terbaik menerusi lakonan berkesannya sebagai anak jalanan dalam filem Anak Halal arahan Osman Ali. Pada 18 Februari 2009, sumbangan dan pencapaian beliau dalam bidang lakonan diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia apabila dipilih untuk menerima anugerah tertinggi Anugerah Seni Negara untuk piala Anugerah Bakat Muda Seni Lakon; Osman turut menerima piala bagi kategori Anugerah Bakat Muda Perfileman.

Pada 2009 juga, Farid bersama pasangan serasinya, Lisa Surihani ditawarkan oleh Astro untuk menjadi Wajah Eksklusif Astro Megadrama selama setahun.[7] Untuk tempoh itu, Farid hanya akan muncul dalam drama siaran Astro sahaja. Artis sedia ada yang telah menjadi Wajah Eksklusif Astro adalah primadona filem Melayu, Erra Fazira dan pelakon Singapura, Aaron Aziz.

Pada tahun 2010, filem pertama arahan Farid yang pernah disekat tayangannya, V3: Samseng Jalanan[2][8][9] menemui penonton pada 8 Mac 2010,[2] diikuti oleh filem Evolusi KL Drift 2 lakonannya yang ditayangkan pada 25 Mac. Filem ini mencatat kutipan pecah panggung dan kritikan positif daripada pengkritik. Selain itu, Farid muncul dalam 2 buah filem romantik bergandingan bersama Lisa iaitu filem Semerah Cinta Stilleto[10] dan filem adaptasi novel Lagenda Budak Setan (LBS) arahan Sharad Sharan. Kedua-dua filem ini berjaya mencatat kutipan pecah panggung, malahan filem LBS mencipta sejarah menjadi filem romantis pertama meraih kutipan RM3 juta pada minggu pertama tayangan.

Menerusi watak Kasyah Khairuddin dalam filem tersebut, beliau telah dicalonkan untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Utama - Festival Filem Malaysia. Beliau juga menerima pencalonan untuk kategori Pengarah Terbaik di FFM menerusi filem sulung arahannya, V3: Samseng Jalanan.[11] Sejak menceburi bidang lakonan ketika berusia 22 tahun, Farid kini telahpun menghiasi hampir 30 buah filem biarpun masih belum mencecah usia 30 tahun. Beliau kini menjadi pelakon lelaki paling disebut-sebut di Malaysia.

2011–2013: Filem ketiga dan projek seterusnya

Pada tahun 2011, Farid menerima pencalonan bagi kategori Lakonlayar Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 menerusi filem kedua arahannya, Kongsi yang dibintangi oleh Shaheizy Sam, Yana Samsudin, Fizo Omar dan Puteri Mardiana. Dalam filem ini, Farid tidak berlakon, sebaliknya membuat penampilan istimewa sebagai ASP Khamis. Kongsi ditayangkan pada 12 Mei 2011 merupakan kegagalan komersial, hanya mencatat kutipan sebanyak RM 1.1 juta semasa tayangannya. Bagaimanapun tidak lama selepas filem ini ditayangkan, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) memfailkan aduan mengenai filem tersebut yang didapati menggunakan perkataan sulit pertubuhan itu seperti "Abang Long" dan "Ayahanda", turut sama terlibat dalam isu ini ialah filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof.[12]

Farid kemudianya muncul dalam satu-satunya filem lakonannya bagi tahun 2011 ialah 3, 2, 1 Cinta arahan Azhari Zain, bersama Diana Amir dan Pierre Andre, seterusnya muncul dalam drama Wasiat di Astro Ria yang turut dibintangi oleh Sara Ali dan Beto Kusyairy. Selain itu, beliau bergandingan bersama Intan Ladyana dalam telefilem Apa Dah Jadi? yang disiarkan di Astro Prima.

Pada 2012, filem ketiga arahannya, Pe3 menemui penonton di pawagam, Farid sendiri turut berlakon dalam filem arahannya ini dengan memegang watak utama sebagai Megat, diikuti oleh tiga filem lakonannya — 3 Temujanji arahan Azhari Zain sebagai penampilan kameo, serta dua filem sebagai pelakon utama — Lagenda Budak Setan 2: Katerina arahan Sharad Sharan dan Hantu Gangster arahan penyanyi kontroversi, Namewee yang terkenal menerusi lagu Negarakuku. Pada tahun berikutnya (2013), beliau membintangi hanya dua filem — Bencinta dan Dampak.

Beliau dilaporkan telah terjatuh ketika sedang menunggang motosikal mini Kawasaki KSR 10 di sebuah litar di Subang Jaya dan mengalami kecederaan di bahu kiri beliau. Farid telah menjalani satu pembedahan kecil pada Sabtu lalu dan menafikan yang bahunya patah selain keadaannya kini stabil dan dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat.[13]

2014–kini: Apokalips X, Lagenda Budak Setan 3 dan kembali ke kerusi pengarah

Filem pertama lakonan Farid pada 2014 ialah filem aksi fantasi cereka sains arahan Mamat Khalid, Apokalips X yang ditayangkan pada 3 April. Dalam filem ini, beliau melakonkan watak sebagai X, ketua kumpulan Puak Merah Putih, ia diikuti oleh filem Anak Jantan. Farid kembali menjayakan watak lakonannya sebagai Kasyah dalam trilogi ketiga dan terakhir filem Lagenda Budak Setan, Lagenda Budak Setan 3: Kasyah - Legenda Berakhir arahan Sharad Sharan, yang ditayangkan pada 11 September.[14][15][16]

Beliau bergandingan bersama Nadiya Nisaa dalam filem komedi romantik terbitan Grand Brilliance dan Primeworks Studios, Love, Supermoon yang ditayangkan pada 22 Oktober 2015. Dalam filem arahan Wan Hasliza Wan Zainuddin ini, beliau memegang watak sebagai Razak.[17] Filem ini mengisahkan perjalanan hidup Razak lakonan beliau dan Triz (Nadiya) selama 20 tahun yang penuh dengan suka duka.[17]

Pada Januari 2016, Farid dilaporkan akan kembali menduduki kerusi pengarah selepas kali terakhir muncul menerusi filem ketiga arahannya, Pe3 yang ditayangkan pada 2012.[18] Selain itu, beliau membintangi drama bertajuk Qanun 99 bergandingan bersama Yana Samsudin, drama ini bersiaran di Astro Oasis pada 5 Februari 2016.[19][20][21][22]

Projek terbaru Farid ialah bersama pelakon Zul Ariffin menerusi filem adaptasi novel karya Ramlee Awang Murshid, Tombiruo: Penunggu Rimba arahan Nasir Jani yang ditayangkan pada 12 Oktober 2017.[23][24]

Pada 15 Januari 2018, Farid membawakan peranan utama sebagai Tengku Ryan Ameer menerusi drama Lafazkan Kalimah Cintamu arahan Along Kamaluddin yang diadaptasi daripada novel 2010 dengan judul sama karya Siti Rosmzah. Beliau digandingkan bersama Nelydia Senrose dan pendatang baharu, Nadiyah Shahab.[25][26]

Pada 18 Februari 2018, Farid muncul sebagai tetamu jemputan dalam rancangan Melodi yang dihoskan oleh Ajak Shiro dan Janna Nick yang mana beliau menceritakan tentang peristiwa pada Januari.

Rujukan

WikiPedia: Farid Kamil http://www.agendadaily.com/Hiburan/bukan-mudah-baw... http://www.astroawani.com/berita-malaysia/farid-ka... http://beautifulnara.com/saya-memang-nak-berbaik-d... http://www.budiey.com/filem-rempit-v3-arahan-farid... http://www.imdb.com/name/nm1767178/ http://malaysianaccess.com/farid-kamil-mahu-kembal... http://malaysianaccess.com/farid-kamil-pentingkan-... http://malaysiandigest.com/hiburan/515679-sikap-ce... http://ohartis.com/2011/06/pekida-bantah-filem-kon... http://www.rotikaya.com/jalani-pembedahan-selepas-...